Tuaran | Liputan U Mobile ULTRA5G Diperluas, Tuaran Antara Lokasi Terawal
Admin
Penulis
U Mobile terus mengukuhkan kehadirannya di Sabah apabila liputan ULTRA5G kini tersedia di beberapa kawasan utama termasuk Kota Kinabalu, Tuaran, Beaufort dan Kudat.
Menurut makluman syarikat itu, selain liputan luar, liputan dalaman ULTRA5G turut disediakan di bangunan tumpuan orang ramai seperti Imago Mall dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA). U Mobile turut memaklumkan bahawa lebih banyak lokasi akan ditambah dari semasa ke semasa bagi memastikan penduduk Sabah menikmati akses rangkaian 5G yang lebih menyeluruh.
Dengan ULTRA5G, pelanggan berpeluang menikmati sambungan internet yang lebih stabil dan latensi rendah, sekali gus menyokong penggunaan digital berintensiti tinggi. Dalam masa sama, sektor perniagaan seperti runcit, hab pengangkutan dan pejabat awam turut mendapat manfaat melalui potensi pendigitalan melibatkan IoT, kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber, yang mampu meningkatkan kecekapan operasi dan pengurusan bangunan.
Dalam perkembangan berkaitan, U Mobile turut membuka sebuah lagi kedai runcit perkhidmatan penuh di Kompleks Karamunsing. Kedai ini menawarkan khidmat bantuan pelanggan, peranti terkini serta akses kepada pelan U Mobile termasuk pakej khas Malaysia Timur seperti Prabayar U Borneo, Pascabayar U Borneo dan U Home 5G Borneo.Perkembangan ini dilihat selari dengan usaha mempercepatkan transformasi digital di Sabah, termasuk di daerah Tuaran.